Sunday, June 12, 2011

TUNTUTAN FARDHU KIFAYAH...


10 Rejab 1432 Hijriah. Ok, hari ini aku ingin berkongsi tentang Fardhu Kifayah yang mana aku yakin, sebagai orang Islam, ramai yang mengetahui tentang tuntutan Fardhu Kifayah ini. Satu persoalan yang aku ingin utarakan supaya kita sama-sama dapat berfikir dan mengkaji iaitu adakah kita memahami tuntutan Fardhu Kifayah dan adakah membantu golongan Orang Kurang Upaya juga merupakan tuntutan Fardhu Kifayah?

Fardhu Kifayah ditafsirkan sebagai 'perbuatan yang wajib dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat tanpa melihat siapa yang mengerjakannya. Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewajipan itu terhadap orang lain. Tetapi apabila tidak ada seorang pun yang melakukannya, maka semuanya berdosa'. (A.Hanafi M.A., Ibid). Dengan lain perkataan adalah kefardhuan yang wajib dibuat oleh seseorang atau satu kumpulan dalam masyarakat, daerah negeri atau negara.

Dengan itu dapatlah ditegaskan bahawa Fardhu Kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas meliputi aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, politik, perundangan, ketenteraan dan sebagainya. Ianya merangkumi kerja-kerja kemasyarakatan dan kenegaraan. "Ditimpakan keatas mereka kehinaan dimana sahaja mereka berada kecuali mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia" (Ali Imran, 112). Tali dari manusia adalah kerja-kerja bersifat Fardhu Kifayah.

So, after kita dah memahami istilah dan konsep Fardhu Kifayah ini, izinkan aku bertanya, "adakah membantu golongan kurang upaya juga merupakan tuntutan Fardhu Kifayah?". Mengikut pembacaan dan kefahaman aku (jika salah tolong betulkan), membantu golongan OKU juga adalah sebahagian daripada Fardhu Kifayah.

Perkara yang aku maksudkan membantu OKU itu adalah dari aspek penyediaan kemudahan OKU, bantuan meringankan bebanan OKU dan sebagainya. Bukan sahaja setakat menyembahyangkan jenazah, Fardhu Kifayah juga menuntut kita untuk membantu OKU. Aku tidak berniat untuk menjatuhkan hukum/mengeluarkan fatwa/mencipta hukum baru dan sebagainya tetapi untuk menyedarkan bahawa Fardhu Kifayah bukan setakat menyembahyangkan jenazah sahaja.



Gambar1: Antara tuntutan Fardhu Kifayah iaitu solat jenazah



Sesetengah daripada kita menganggap bahawa Fardhu Kifayah itu hanya setakat menyembahyangkan jenazah dan hal keagamaan tetapi Fardhu Kifayah ada 4 jenis yang meliputi aspek kemasyarakatan dan kenegaraan termasuklah membantu OKU seperti menyediakan kemudahan OKU, meringankan bebanan warga emas dan sebagainya.

Kenapa terjadinya perkara seperti ini? Hal ini aku tidak mampu memberi penjelasan yang tepat. Mungkin masyarakat kita hanya didedahkan dengan soal menyembahyangkan jenazah sahaja. Mungkin pendedahan ilmu kifayah kurang ditekankan sangat di sekolah-sekolah dalam negara. Mungkin mereka tidak/kurang mengetahui bahawa Fardhu Kifayah itu ada 4 bahagian iaitu Kifayah Dini, Kifayah Duniawi, Kifayah Syarat Hakim dan Kifayah Tanpa Syarat Hakim.

Perlu dingati bahawa jika kita mengabaikan Fardhu Kifayah ini, keseluruhan masyarakat terdekat (mungkin satu kampung, satu daerah, satu negeri atau satu negara) berdosa dan sama-sama menanggungnya. Begitu juga dengan masyarakat yang tidak prihatin terhadap penyediaan kemudahan OKU ini. Masyarakat menjadi endah tidak endah tentang hal ini kerana mereka berpendapat bahawa tidak mengapa jika tidak memperdulikan masalah ini. Mereka tidak menyedari bahawa kemudahan OKU juga ada dalam aspek kemasyarakatan, tanggungjawab masyarakat yang perlu dibuat secara bersama.

Begitu juga dengan apa yang dikatakan ilmu Fardhu Kifayah iaitu ilmu yang bukan melibatkan fardhu ain. Ianya adalah ilmu yang mesti dipelajari. Jika tiada seorang pun yang mempelajari ilmu Fardhu Kifayah seperti ilmu matematik, perubatan, sains teknologi dan sebagainya, ianya berdosa. So, konsep Fardhu Kifayah ini mesti difahami secara baik dan mendalam oleh masyarakat kita.

So, kesimpulannya adalah hari ini kita banyak tidak mengetahui tentang tuntutan Fardhu Kifayah sekaligus mengabaikannya. Aku bukan ustaz, ulama atau mufti untuk memberikan hukum hakam tetapi daripada pembacaan dan kefahaman aku, membantu OKU juga adalah sebagaian daripada tuntutan Fardhu Kifayah (jika salah tolong tegur ye).



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

...:: Facebook ::...