Sunday, July 31, 2011

NOTA RAMADHAN KU - PART1...


30 Syaaaban 1432. Alhamdulillah.... Esok adalah hari pertama kita berpuasa di bulan Ramadhan, dibulan yang paling berkat dan paling rahmat. Untuk pembaca blog ini, selamat menjalani ibadah puasa aku ucapkan. Semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lalu. Ok, untuk Ramadhan ini, aku bercadang untuk post apa-apa yang boleh memberi nasihat, motivasi dan sebagai dalam tajuk Nota Ramadhan Ku. Diharap apa yang baik dapat diamalkan dan apa yang tidak baik ditinggalkan.

Firman Allah SWT "Rahmat aku meliputi segala-galanya" (Al-A'raf , 156). Daripada ayat ini, nyatalah bahawa Allah SWT telah mengurniakan belas kasihannya kepada semua makhluk yang dicipta atas muka bumi ini. Binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan turut diberi rahmat. Orang kafir yang tidak beriman kepada Allah SWT turut diberi kasih dan sayang oleh Allah SWT. Allah SWT memberi tanpa diminta dan tanpa meminta. Memberi dengan kasih sayang dan bukan dengan paksaan dan penghinaan.

10 malam pertama Ramadhan adalah untuk rahmat, 10 malan kedua adalah untuk pengampunan dan 10 malam terakhir adalah untuk bebas daripada api neraka. Dalam bulan Ramadhan, awal-awal lagi Allah SWT memberikan peluang kepada kita untuk mendapatkan rahmat daripada Allah SWT. Rahmat yang diberikan oleh Allah SWT ada yang boleh dilihat, dirasa dan disentuh namun ada juga yang bersifat tidak boleh dilihat, dirasa dengan lidah dan disentuh dengan tangan.

Rahmat Allah SWT ini juga merangkumi kepada orang bukan Islam yang mana dalam bulan Ramadhan ini, pintu rahmat Allah SWT terbuka luas untuk semua, semua akan memperolehinya. Apa yang berbeza adalah mungkin rahmat yang diterima oleh orang yang beriman berbeza dengan rahmat yang diterima oleh orang bukan Islam sesuai dengan keadaan dan situasi masing-masing.

Namun, sedarkah kita akan rahmat Allah SWT itu? Sedarkah bahawa dalam asyik kita menjalani kehidupan kita, banyak rahmat Allah SWT berikan kepada kita samada rahmat itu dalam bentuk yang boleh kita lihat atau tidak boleh dilihat? Sedarkah kita bahawa 10 malam pertama Ramadhan adalah malam-malam yang paling banyak rahmat yang Allah SWT berikan kepada kita?

Kepada yang sedar pula, adakah kita bersyukur dengan rahmat-rahmat tersebut? Adakah kita menggunakan rahmat tersebut sebaik-baiknya? Adakah kita menggunakan peluang 10 malam pertama Ramadhan ini untuk berusaha memperoleh rahmat Allah SWT itu?

Tentang topik rahmat ini, aku suka berbicara, berkongsi ilmu dan pengalaman dalam konteks masyarakat kita hari ini terutamanya melibatkan golongan OKU. Dalam pada 10 malam pertama Ramadhan ini, apa aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat kita terutamanya golongan OKU dalam usaha memperolehi rahmat serta usaha mensyukuri rahmat tersebut?

Adakah cukup dengan sekadar menunaikan solat wajib 5 waktu sehari selepas itu duduk rileks dan rehat atas alasan penat berpuasa? Adakah aktiviti hiburan kita berkurangan sepanjasng Ramadhan ini ataupun sama sahaja seperti hari-hari lain? Adakah kita masih lagi akan berjaga malam menonton tv atau melayari internet berbanding membuat solat Tarawikh?

Dalam 10 malam pertama ini, inilah peluang terbaik yang mesti kita semua sebagai golongan OKU untuk merebut rahmat daripada Allah SWT. Inilah peluangnya untuk kita menanam rasa syukur terhadap rahmat Allah SWT. Janganlah kita menyangka disebabkan kita OKU, maka Allah SWT tidak memberikan rahmatNya kepada kita. Mungkin tanpa kita sedari bahawa rahmat yang Allah SWT berikan kepada OKU lebih banyak berbanding golongan normal.

Janganlah jadikan alasan disebabkan kita ini OKU, kita tidak boleh menjalani ibadat puasa. Janganlah disebabkan kita kita ini OKU, kita tidak boleh sama-sama menunaikan ibadah tarawikh secara berjemaah. Janganlah disebabkan kita ini OKU, kita ditangkap oleh pihak berkuasa kerana tidak berpuasa (melainkan kita mempunyai sebab kesihatan dan bukti yang kukuh).

Janganlah kita asyik leka dengan aktiviti harian kita dan jangan pula kita bermalas-malasan atas alasan penat berpuasa. Sebaliknya jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk menambah seberapa banyak pahala, menambah seberapa banyak ilmu dan sebagainya. Kurangkanlah aktiviti yang melalaikan seperti menonton tv dirumah. Ambillah peluang Ramadhan ini untuk memperolehi pahala yang banyak.

Kita begitu senang menangis tatkala menonton movie hindustan, drama korea ataupun rancangan program realiti tetapi kita susah untuk menangis di atas kain sejadah, susah untuk menangis ketika mengaji Al-Quran dan susah untuk menangis ketika membaca kisah pengorbanan nabi dalam sirah-sirah nabi....

Jadi, kepada semua OKU, janganlah kita mensia-siakan Ramadhan yang datang ini dengan membuat perkara yang sia-sia. Disini aku lampirkan beberapa gambar sebagai motivasi untuk semua.


Gambar1: OKU menjadi imam



Gambar2: Gambar ini dari Google, tak pasti dimana gambar originalnya



Gambar3: Berdoa memohon rahmat daripada Allah SWT




1 comment:

  1. It's really a cool and useful piece of info. I am happy that you shared this helpful information with us. Please stay us informed like this. Thanks for sharing.

    Also visit my blog post moodle.cad.auckland.ac.nz

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

...:: Facebook ::...