Saturday, July 30, 2011

TEGURAN SECARA TERBUKA - PART2...


30 Syaaban 1432. Hari ini adalah hari terakhir sebelum datangnya bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan dan untuk post kali ini aku ingin menyambung tentang topik sebelum ini iaitu teguran secara terbuka. Untuk post ini aku reka sebuah satira bagi menyampaikan apa yang ingin aku maksudkan. Kisah satira ini tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia....

Ali (bukan nama sebenar) baru sahaja memperolehi surat tawaran pengajian ke salah sebuah institut pengajian tinggi awam di ibukota. Rasa gembiranya bukan kepalang. Ibu bapanya juga teramat gembira sehingga rebah seekor lembu untuk membuat majlis bacaan doa khas pada malam sebelum keberangkatan Ali ke ibukota.

Pagi itu sebelum bertolak ke ibu kota, ibu bapanya sempat berpesan agar jangan tinggankan solat, belajar rajin-rajin dan sentiasa menghubungi keluarga. Ali seorang anak yang baik hati dan rajin. Dia sentiasa patuh pada kata-kata ibubapanya. Maka berangkatlah Ali ke ipta tersebut.

Dua bulan berada di ibukota, Ali mula terkena kejutan budaya dan berubah sikap. Dulu semasa berada di kampung sewaktu subuh, dia sering ke surau untuk bersolat subuh, namun tidak lagi. Dia hanya bersolat subuh di bilik kolej untuk bersolat. Takpe, yang penting dia tahu dan sedar... bahawa tak solat di masjid kolej pun tak mengapa, tak wajib atas undang-undang kolej...

Pengajian Ali tiada masalah kerana dia seorang yang pandai Selepas 2 bulan, dia berkenalan dengan Aini (bukan nama sebenar), seorang remaja dan gadis metropolitan. Mereka mula rapat dan akhirnya bercinta. Aini tidak bertudung dan kadang-kala berpakaian yang agak menjolok mata. Di kampus elok saja pemakaiannya, tetapi di kolej dia free hair. Padanya takpe, yang penting dia tahu dan sedar... bahawa dia tak melanggar peraturan universiti....

Mulanya Ali berniat untuk mengubah Aini daripada kurang elok kepada lebih elok, daripada free hair kepada bertudung, daripada berpakaian agak ketat kepada bersopan santun, itu niat asalnya. Namun Ali tewas.... Jika dulu pada waktu Maghrib menunggu Isya' dikampung, Ali selalu mengaji Al-Quran dan bertadarus, namun sekarang dia sibuk ber sms dengan Aini, melontarkan kata-kata rindu dihati... takpe, yang penting dia tahu dan sedar... lagipun tak berdosa pun tinggalkan mengaji Al-Quran waktu Maghrib, boleh buat pada waktu lain....

Akibat selalu 'berdating' dengan Aini sehingga kadang-kala pulang lewat dalam pukul 1-2 pagi, Ali selalu tidak cukup tidur. Dia sekarang mula 'terbabas' waktu subuh nya. Jika dulu, pukul 6.00 pagi dia sudah bersolat, namun lama kelamaan semakin lewat. Dua bulan pertama, dia bangun pukul 6.20, bulan ketiga pukul 6.40, bulan keempat pukul 7.00, bulan kelima pukul 7.20 dan bulan keenam pukul 7.45, makin lama, makin lewat... Ala.. takpe, yang penting dia sedar dan tahu... dia masih lagi bersolat subuh berbanding orang lain, fikir Ali...

Sewaktu 'dating' pula, mula-mula itu duduk agak renggang dan tak bersentuhan. Itu bulan pertama bercinta, masuk bulan kedua dan seterusnya, duduk mula rapat-rapat, berpegangan tangan, bergambar berdua-duaan dan bangga masukkan dalam FB nya. Takpe... yang penting dia tahu dan sedar... dia rasa dia takde buat dosa, takde buat maksiat pun, belum masuk kategori berzina, fikir Ali dan Aini....

Sahabat-sahabat kuliah ada menasihati Ali tentang kelakuannya. Ali juga ada dinasihatkan oleh ibu bapanya apabila dia pulang bercuti semester di kampung. Namun, Ali tidak endahkan kesemua nasihat itu. Baginya yang penting dia tahu dan sedar... dia tak buat salah, tak buat dosa, perkara sunat je yang tak buat perkara wajib masih dibuat, tak perlu menyibuk dan ditegur.... Dia mula rasa teguran sahabat dan ibu bapanya itu kolot, dia sudah maju ke hadapan...

Pelajaran Ali mula merosot. Semester pertama, pointer nya just cukup makan namun sikap Ali tidak berubah. Dia mula berpeleseran dan kali ini dengan perempuan lain pula. Dulu dengan Aini, sekarang dengan Fatimah. Ali tinggalkan Aini setelah puas dipegang dan bergambar berdua-duaan, sekarang dia ingin memegang dan berpegang dengan Fatimah yang lebih cun lagi. Takpe, yang penting dia tahu dan sedar bahawa dia takde buat apa-apa dosa pun dengan Aini, so tak perlu bertanggungjawab apa-apa terhadap Aini...

Dengan Fatimah, Ali mula 'maju ke hadapan'. Dulu sekadar pegang tangan dan duduk rapat-rapat dengan Aini, sekarang sudah pandai 'demand' untuk berpelukan dan 'kiss ringan-ringan'. Oh, sungguh seronok bercinta ini, semuanya indah-indah belaka.... fikir Ali. Jika tidak dipenuhi 'demand' tersebut, Ali ugut untuk tinggalkan Fatimah. Maklumlah Ali ini kategori jejaka kampung yang kacak berwajah jambu katakan..., dah lah tu, boleh berlagu mengaji Al-Quran pulak tu....

Takpe, yang penting dia tahu dan sedar... Baginya dia hanya ingin berseronok, belum berzina lagi. Dia masih lagi bersolat walaupun pada lewat waktunya... Dia masih lagi menggaji Al-Quran walaupun jarang-jarang dilakukan. Nasihat sahabat dan ibubapanya tidak diendahkan... takpe... yang penting dia tahu dan sedar apa yang dia lakukan... fikir Ali...

Sapai waktunya, result semester dua keluar. Result Ali teramat teruk dan dia 'ditendang' dari pusat pengajiannya. Dia mula sedar dan insaf akan kesilapannya. Dia mula terkenangkan nasihat sahabat dan ibubapanya... Kalaulah dia ikut nasihat tersebut, mungkin ada keputusan yang lebih elok lagi untuk dirinya. Namun, apakan daya, nasi sudah basi, tak mampu dijamah lagi....semuanya kerana 'takpe... yang penting dia tahu dan sedar.....'

Ok, cukup setakat ini sahaja satira ini. Mana yang baik, ambillah pengajaran dan mana yang tak baik, jadikanlah sempadan....



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

...:: Facebook ::...