Thursday, June 30, 2011

BERSIH 2.0...


29 Rejab 1432 Hijriah. Sekarang ini kecoh dengan isu perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011, sebuah perhimpunan yang diketuai oleh Dato' S. Ambiga yang bertujuan untuk mendapatkan pilihanraya yang bersih serta diiringi oleh 8 tuntutan kearah tersebut. Ok, ini adalah pandangan peribadi aku sahaja, tidak ingin aku kaitkan dengan hal politik, harap jangan salah faham.

Sebelum itu kita tengok dahulu 8 tuntutan daripada BERSIH ini:

  1. Bersihkan senarai undi
  2. Menreformasi undi pos
  3. Penggunaan dakwat kekal
  4. Masa kempen minima 21 hari
  5. Akses media yang bebas dan adil
  6. Kukuhkan institusi awam
  7. Hentikan rasuah
  8. Hentikan politik kotor

Pada pandangan aku sebagai pelajar dan rakyat negara ini, aku berpendapat tiada masalah untuk perhimpunan ini diadakan. Aku banyak membaca daripada akhbar-akhbar dan buku tentang perlembagaan (sejak akhir-akhir ini je) untuk mengetahui status perhimpunan tersebut dari sudut perlembagaan. Ada rahmat jugak disebalik perhimpunan ini ye (rahmat aku yang buta tentang perlembagaan jadi celik perlembagaan, hehehe...)

Perhimpunan ini adalah susulan perhimpunan dahulu yang telah mengumpulkan seramai 40,000 orang bagi menuntut pilihanraya yang bersih. Kesan daripada perhimpunan dahulu, parti politik Pakatan Rakyat telah memenangi banyak kerusi dalam parlimen. Kesan daripada itu jugalah yang dikaitkan dengan tsunami pilihanraya dahulu.

Dari segi permit pula, pada pendapat aku, tidak perlu dimohon pun sebenarnya oleh pihak BERSIH 2.0 kerana undang-undang memang membenarkannya. Hanya polis sahaja yang menetapkan permohonan permit dan dalam kes terbaru ini, awal-awal lagi pihak polis sudah menyatakan bahawa tiada permit yang akan dikeluarkan.

Dalam perhimpunan ini, apa yang paling aku kesalkan dan bimbangi adalah percampuran dan perkelahian antara 3 kumpulan terbesar perhimpunan iaitu BERSIH, PERKASA dan PATRIOT yang mana dijangkakan huru hara akan berlaku sekiranya kumpulan ini bertembung. Perkara ini yang aku bimbangi.

Bukan apa, apabila 3 kumpulan ini yang satunya sememangnya bersifat (kononnya) menjaga ketuanan melayu sudah awal-awal lagi memberi amaran akan pertumpahan darah dan melancarkan 'jihad' mereka. Awal-awal lagi sudah memberi amaran terhadap kaum cina di negara ini. Bagi aku, kumpulan ini yang paling merbahaya dan mesti ditangkap dan dibicarakan atas cuba menimbulkan kekacauan (bukan dikenakan ISA).

Aku cukup bersetuju jika pihak polis menentukan jalan/laluan yang boleh dilalui oleh kumpulan BERSIH ini seterusnya mengawal keamanan perhimpunan sekaligus turut membantu melancarkan laluan trafik. Aku menjangkakan bahawa trafik akan sesak pada 8-9 Julai ini dengan dibanjiri oleh kenderaan dari seluruh negara. Aku pun rasanya akan ke KL jugak untuk adakan appointment untuk program aku tapi maybe after 9 hb la kot...

Aku rasa, kalau ketiga-tiga kumpulan ini tidak bertembung dan tiada sebarang provokasi dilakukan oleh mana-mana pihak ditambah dengan kawalan bantuan pihak polis, ianya akan menjadi sebuah perhimpunan yang aman sama seperti mana-mana perhimpunan yang telah dilakukan sebelum ini seperti perhimpunan kemerdekaan, perhimpunan sejuta belia dan sebagainya. Apabila berlaku provokasi, itu yang akan merosakkan demokrasi negara ini seterusnya mengakibatkan banyak kerugian kepada negara tercinta ini.

Perkara yang satu-satunya ditakuti adalah kekacauan yang mungkin berlaku jika ada provokasi yang muncul. Dari segi business side atas perhimpunan ini, aku melihatnya dari dua sudit iaitu mungkin rugi dan mungkin teramat untung. Rugi jika pemandu teksi gagal memanfaatkan peluang untuk mendapatkan pelanggan dan rugi jika pekedai menutup kedai mereka. Pemandu teksi dan pekedai mungkin akan memperolehi keuntungan berlipat ganda kerana orang ramai pada hari tersebut. Maklumlah selepas penat berjalan ,mesti nak rehat dan makan minum kan, hehehe...

Tapi real thing is susah untuk mengatakan samada perhimpunan ini akan memberi manfaat atau tidak. Ianya amat subjektif dan masing-masing pihak mempunyai pandangan tersendiri. Satu pihak mengatakan bagus dan satu pihak mengatakan tidak bagus dengan hujah dan alasan masing-masing.

So, aku amat berharap agar perhimpunan yang dirancang (jika benar-benar dilaksanakan) ini dapat dilakukan dengan mendapat kerjasama daripada semua pihak bagi menjamin keselamatan negara. Tiada yang lebih berharga selain daripada keamanan yang dikecapi ini. Semoga perhimpunan ini diadakan dengan suasana yang baik dan tanpa sebarang huru hara kerana jika berlaku huru hara, semua akan turut menanggung tempiasnya.



TREND LAKONAN...


29 Rejab 1432 Hijriah. Alhamdulillah... sempat juga update blog hari ini. Sekarang ini agak terbatas masa untuk update blog, banyak kerja yang perlu disiapkan sebelum Ramadhan ni. Ok, untuk kali ini, aku just nak berkongsi perasaan dan maklumat tentang sensitiviti sesetengah OKU terhadap lakonan sesetengah artis tempatan yang dilihat semakin hari semakin menjadi trend. Walaupun isu ini mungkin sudah agak lama tetapi trend sekarang ini yang aku bimbangi.

Ok, aku berpendapat semua sudah maklum tentang gaya yang ditampilkan oleh watak 'Usop Wilcha' lakonan Syed Mohammad Asri. Perwatakkannya yang lembut dan popular dengan kata-kata seperti "ce citer ce citer", "kiter bakor je" dan "english education itu penting" dan paling penting yang ingin aku ceritakan adalah babak dia yang 'OKU' sewaktu dikejar hantu, telah bangun berdiri dan berlari sambil menolak kerusi roda tersebut, bila dah selamat terus duduk atas kerusi roda tersebut dan menjadi OKU semula.

Begitu juga semasa dibuat secara 'live' di Anugerah Bintang Popular (tak silap aku la) yang turut menampilkan perwatakan Usop Wilcha diatas pentas. Pada masa itu, majoriti penonton dalam majlis anugerah itu ketawa terbahak-bahak melihat aksi Usop itu. Aku pun tidak terkecuali turut tersenyum (aku just tengok kat YouTube).

Mungkin perwatakkan tersebut tidak ditujukan khas kepada sesiapa pun dan mungkin jawapan daripada Usop pun akan mengatakan bahawa dia tidak berniat untuk menghina sesiapa tetapi perwatakkan tersebut sememangnya mengundang rasa tidak senang hati terhadap sesetengah golongan OKU di negara kita ini.

Ada sahabat OKU aku di Facebook yang mengadu tentang sensitiviti mereka yang ternyata tidak senang hati dengan gaya Usop yang berlari sambil menolak kerusi roda malahan mereka turut mempersoalkan "adakah usop suka jika ditakdirkan berada diatas kerusi roda suatu hari nanti?". Mereka ini mengatakan bahawa aksi tersebut seolah-olah mempersendakan golongan OKU yang berkerusi roda, seolah-olah OKU ini berpura-pura sakit (tidak mampu berjalan) sedangkan mampu berlari.

So, point aksi disini adalah mula-mulanya adalah seorang OKU, nampak hantu terus bangun dan berlari sambil menolak kerusi rodanya dan bila keadaan dah selamat, terus duduk atas kerusi roda menjadi OKU semula. Aksi berulang dengan gaya seolah-olah OKU itu berpura-pura boleh berlari (part ini yang paling dikesalkan).

Trend sesetengah gaya artis dilakonkan agak melampau sehingga menyentuh sensitiviti orang lain terutamanya golongan OKU. Tanpa disedari oleh orang ramai, gaya 'Usop Wilcha' berlari sambil menolak kerusi roda dengan diketawakan penonton itu sememangnya menyentuh senstiviti sesetengah golongan OKU berkerusi roda...

Pada aku, aku tak terasa apa-apa pun, then aku pun siap gelak-gelak lagi bila menonton aksi Usop tu tapi yelah, setiap orang ada hati dan perasaan yang tersendiri kan dan ini memang tak boleh dinafikan bahawa ada OKU yang terasa hati dengan aksi tersebut. Lainla jika artis membuat gaya seseorang (katakan En.X) itu dan En.X menyatakan bahawa dia tidak terasa hati, tidak sensitif ataupun tidak marah, then takde masalah.

Permasalahan timbul bila ada yang terasa hati, sensitif atau marah. Tak boleh nak dipersalahkan OKU yang sensitif itu sebab memang keadaannya macam itu dan OKU itu ada asas untuk tidak berpuas hati terhadap aksi Usop. Nak dipersalahkan kepada Syed 100% pun tak boleh jugak then aku bukan bertujuan post tajuk ini untuk mempersalahkan sesiapa, just untuk mencari dan mengetahui puncanya sahaja dengan harapan agar perkara ini semakin berkurangan.

Pada aku, pengarah filem ini iaitu Mamat Khalid mungkin ingin sampaikan sesuatu mesej yang tersirat disebalik aksi tersebut. Mungkin just untuk memberitahu masyarakat bahawa ramai orang yang berpura-pura diakhir zaman ini atau menjadi salah satu sifat manusia bila terdesak, sanggup lakukan apa sahaja atau lain-lain maksud lagi (pada pandangan aku je la).

Apa pun, tidak dapat dielakkan bahawa setiap orang mempunyai kefahaman dan pentafsiran yang tersendiri yang bergantung kepada latar belakang, pendidikan, keadaan semasa dan sebagainya. Begitu juga dengan pentafsiran golongan OKU lain apabila melihat aksi tersebut. Ada yang ok dan ada yang tak ok, ada yang tafsir begini dan ada yang tafsir begitu. Tafsiran/pemahaman OKU yang menganggap aksi itu menghina golongan OKU berkerusi roda juga tidak boleh dinafikan.

Aku tidak berniat untuk berkata apa-apa kepada Syed Mohammad Asri atau kepada pengarahnya, Mamat Khalid cuma pada nasihat dan pendapat aku, untuk next time cubalah dengan lawak jenaka yang tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak untuk filem-filem yang akan datang. Begitu juga dengan pengarah atau pelakon lain.

So, akhir kata, semoga Syed Mohammad dan Mamat Khalid sentiasa akan terus kreatif dalam bidang seni lawak jenaka mereka.



Saturday, June 18, 2011

REMEMBER, APPLY AND CREATE...


17 Rejab 1432 Hijriah. Alhamdulillah... sempat juga update blog hari minggu macam ni. Ok, untuk post kali ini, aku bercadang untuk bincang tentang knowledge level. Actually, ini adalah pertanyaan daripada salah seorang kawan alam maya aku iaitu tentang level2 ilmu ni. So, disebabkan dah lama soalan itu dituju, rasa bersalah pulak kalau tak menjawab, maka post ini akan membincangkan tentang knowledge level lah.

Knowledge level ni kalau ikut pemikiran aku yang bodoh ni lebih kurang peringkat/tahap ilmu yang kita punyai/amalkan. Kita boleh tahu di peringkat mana tahap amalan ilmu kita. Untuk itu, tengok dulu rajah di bawah ini.

Gambar1: Knowledge Level daripada Anderson, LW.& Krathwohl. D.R. (Eds.)


Ok, based on this picture, ada 6 level tapi aku biasanya (untuk pengetahuan umum) kata ada 3 level sahaja yang utama iaitu Remember, Apply dan Create. So, untuk perbincangan kita ini, aku akan kupas terhadap 3 level utama ini.

Remember. Ini adalah tahap asas pembelajaran kita. Ianya adalah lebih kepada teknik menghafal. Ianya juga adalah teknik termudah untuk kita mempelajari sesuatu. Biasanya, jika kita tidak faham tentang sesuatu teori/formula, maka kita dinasihatkan untuk menghafal sahaja teori/formula tersebut. Cara ini dilihat paling praktikal dan paling menjimatkan masa. Bagaimana cara untuk mudah mengingati, itu adalah topik lain (antaranya seperti menjaga pemakanan, guna teknik otak kiri otak kanan, variasi warna, guna mind map dan sebagainya).

Teknik Remember ini boleh digunakan dan sesuai untuk pelajar sekolah. Pelajar sekolah yang mana sukatan pelajarannya banyak yang perlu dihafal. Kalau ada yang perlu fikir pun tak banyak sangat la aku tengok. Walaupun dah lama wujud modul KBKK, namun pelajar still lagi menghafal. So pada aku peringkat Remember ini sesuai untuk pelajar sekolah tetapi tidak sesuai untuk pelajar universiti.

Untuk tahap pelajar universiti, mereka sepatutnya sudah mempunyai kemahiran untuk Apply ilmu yang mereka perolehi. Level Apply ini bermaksud, mereka sudah boleh mengaplikasikannya ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian mereka. contoh paling bodoh yang aku boleh berikan adalah macam daya/tekanan. Time main bola petang-petang tu, apply la. Pergerakkan akan berlaku jika wujud perbezaan tekanan/daya. Time kita sepak bola tu, itulah perbezaan tekanan sehingga bola itu bergerak. Alangkah indahnya kalau setiap kali kita buat something je, timbul idea tentang apa yang kita belajar kan?

Apa pun, aku tengok pelajar universiti pun masih ramai yang tidak tahu apply ilmu yang mereka perolehi dan masih banyak yang berada di tahap Remember. Entahlah, dimana silapnya. Pelajar universiti ini dilihat masih menghafal (tak salah pun menghafal) dan tidak tahu mengaplikasikan ilmu mereka. Maybe ada something yang perlu diubah pada sukatan pengajian mereka ataupun dari segi pengajian mereka agaknya.

So, bila dah tahu Apply, pelajar universiti (biasanya pada peringkat Ph.D) mesti tahu untuk create something new, something yang orang tak buat lagi. Menggunakan ilmu yang diperolehi seterusnya mencipta satu ilmu baru. Sebagai contoh la, sekarang ini sudah ada cara mengira garis lurus: y=mx + c, maybe suatu hari nanti, ada orang yang mengatakan bahawa formula itu kurang tepat dan mengemukakan formula baru seperti : y=mx + c +1 (ini contoh je), so itu yang dikatakan create something new.

Bukan senang untuk kita create something new ni. Untuk peringkat Master, boleh la kita expend benda yang dah ada tetapi untuk peringkat PhD, kita dah tak boleh expand dah, kena create something new. Macam contoh formula y=mx +c +1, ingat senang ke nak buktikan bahawa pertambahan nilai 1 tu menjadikan formula kiraan garis lurus lebih tepat? Nampak macam mudah (just +1 je) tapi untuk membuktikan dan mempertahankan idea formula tu, bukan senang, formula yang dah digunakan bertahun-tahun dan tetiba je kita kata tak tepat. Kalau kita ada pembuktian dan kukuh, baguslah, kalau tak kukuh, fail la PhD kita tu.

So, pada aku kalau kita sudah boleh mencapai peringkat Apply, itu pun sudah memadai, sudah cukup hebat sebenarnya. Ini kerana bukan senang untuk kita create ilmu baru. Apabila kita sudah mencapai tahap Apply, banyak perkara yang kita boleh selesaikan, banyak benda kita boleh laksanakan dan buktikan.

Begitu juga dengan ilmu agama yang kita pelajari. Adakah memadai dengan kita belajar sahaja tanpa mengamalkan ilmu tersebut? Menjadi suatu penghinaan pula pada 'ilmu' yang kita pelajari itu jika kita tak amalkan dan jika kita beramal tanpa ilmu pun tak boleh juga, nanti sesat jadinya. Kita hari ini terlalu stress mengejar segulung ijazah, bangun pagi pergi kuliah, tengahari sampai malam buat assignment dan ulangkaji pelajaran. Bila dah dapat segulung ijazah dan memasuki bidang pekerjaan, kita tak dapat nak buat kerja itu sebab kita tak tahu nak apply ilmu yang dipelajari dulu.

So, pada aku belajarlah sehingga kita mencapai peringkat boleh Apply ilmu yang dipelajari itu. Jika sudah mencapai tahap Apply, maka applylah/amalkanlah ilmu tersebut. Untuk buat sesuatu amal, mesti berilmu dahulu dan jika sudah berilmu, amalkanlah ilmu tersebut. So, sebagai penutup post ini, renung-renungkanlah madah ini (nak bermadah pulak aku ni)

Keris yang hebat tidak berguna jika pendekar tidak mahir berpencak...
Taming Sari tidak bererti tanpa pencak silat Hang Tuah...
Ijazah yang menggulung tidak berguna jika pelajar tidak tahu mengaplikasikannya...
Ilmu yang diperolehi tidak bererti jika tidak diamalkan...



Wednesday, June 15, 2011

USAHAWAN ISLAMIK...


13 Rejab 1432 Hijriah. Ok, kali ini aku ingin berbicara tentang Usahawan Islamik. Eh, kenapa tetiba je aku nak bercakap tentang perkara ni? Actually, ini adalah antara post yang akan aku submit di buletin kelab usahawan UTM. Presidennya mintak aku menulis artikel-artikel untuk dimuatkan dalam buletin keusahawanan tu. So, aku pun terfikir tajuk/isu yang sesuai untuk first posting aku kat buletin tu.

Usahawan Islamik. Suatu istilah yang muncul dalam fikiran aku sewaktu mula-mula menceburi diri dalam bidang keusahawanan. Waktu itu aku maybe terpengaruh dengan istilah Jihad Business yang dipelopori oleh Tun Ali Hashim, bekas CEO JCorp (waktu itu aku baru sahaja dalam proses ingin menyambung pengajian dalam kursus Sarjana Keusahawanan IT). Aku terfikir, Business boleh dijadikan salah satu cabang jihad, tetapi bagaimana pula peribadi pelaksana jihad tersebut?

Setelah aku membaca buku Business Satu Cabang Jihad nukilan Muhammad Ali Hj.Hashim, beliau menerangkan tentang pentingnya jihad dan kita juga boleh berjihad melalui business tetapi tidak diterangkan dengan detail tentang peribadi serta pembentukan diri usahawan itu sendiri. So, suka aku huraikan apa yang muncul dalam fikiran aku ini yang mana aku harap perkongsian ini boleh dijadikan iktibar untuk pembaca.

Mutakhir ini kita seringkali mendengar berita-berita tentang produk buatan non-muslim yang diragui status halal haramnya. Email dan post di Facebook banyak sekali di tag dengan nama kita untuk menarik perhatian supaya membacanya. Produk itu dikatakan haram, produk ini dikatakan ditarik balik status halal, produk itu campur bahan haram, produk ini diragui halal dan sebagainya.

Tindakan ini turut menarik nama baik pihak JAKIM yang merupakan pihak yang berkaitan dengan isu kepenggunaan halal haram ini. Bukan itu sahaja, malahan ada pihak yang turut mengaitkan isu halal haram ini terhadap produk buatan orang Islam lain. dengan kata lain, tiada produk halal yang lain selain produk keluaran syarikatnya.

Sesetengah pihak yang mendakwa hanya mereka ini mengeluarkan produk halal, produk orang lain tak halal. Dengan watak dan perwatakkan islamik, amat mudah bagi masyarakat mempercayainya tanpa merujuk kepada sumber, pihak berkaitan mahupun pihak berkuasa. Dengan istilah dan sensitiviti keagamaan sahaja, mereka yang tidak bertanggungjawab ini berjaya memanipulasikan pasaran produk mereka. Adakah mereka ini layak digelar Usahawan Islamik dan adalah mereka ini sudah melakukan Jihad Business?

Usahawan Islamik yang sejati pada pandangan aku adalah usahawan yang bukan sahaja mengamalkan sistem perniagaan berasaskan islam tetapi juga berusaha mencontohi peribadi keusahawanan Nabi Muhammad SAW. Berniaga bukan sahaja menggunakan sistem perniagaan islam (seperi bebas penipuan, tiada riba, sukatan yang betul, tiada penganiayaan dan sebagainya) malahan memiliki peribadi seperti Rasulullah semasa berniaga.

Bagaimana peribadi Rasul Allah itu semasa berniaga. Baginda menyambut pelanggan dengan senyuman manis, bersifat jujur terhadap sukatan (baginda menjual herba, wangian, kain, kismis dan sebagainya), tidak menipu dan baik dari segi akaunnya (jujur dan amanah ketika menyerahkan hasil niaga kepada Khadijah). Baginda juga bukanlah jenis orang yang suka memburuk-burukkan orang lain apatah lagi memburuk-burukkan perniagaan orang lain. Baginda juga melakukan urusan jual beli dengan orang bukan Islam.

Hasil daripada peribadi baginda itu, perniagaan baginda sememangnya untung berbanding perniagaan orang lain. Tanpa perlu memburuk-burukkan perniagaan orang lain, perniagaan baginda tetap untung malahan diberkati pula oleh Maha Kaya lagi Maha Pemurah. Sifat inilah yang boleh aku katakan sebagai sifat yang mesti dimiliki oleh mereka yang ingin berjihad dalam perniagaan.

Sifat dan sikap seperti inilah yang kita mahukan dalam diri setiap usahawan islamik supaya apa yang diperjuangkan, apa yang di jihadkan itu sememangnya suatu juang dan jihad yang betul sekaligus diberkati oleh Allah SWT. Melihat kepada perkembangan usahawan melayu islam sekarang ini, agak jarang yang aku jumpa usahawan seperti itu malahan ada sesetengahnya mempunyai sifat yang buruk sekali.

Usahawan yang kurang elok sifatnya ini bersikap suka memburuk-burukkan perniagaan orang lain. Menabur fitnah, membangga diri dengan produknya, menghasut masyarakat dan mengheret pihak yang tidak berkaitan adalah permainannya tetapi masih mendakwa bahawa mereka adalah usahawan islamik dan melaksanakan jihad business. Bagi aku amat malang sekali terhadap usahawan sebegini. Mungkin mereka berniat baik untuk berjihad melalui perniagaan tetapi mereka telah tersalah langkah. Tindakan mereka ternyata tidak betul.

So, pada aku, untuk menjadi usahawan islamik yang sebenar mestilah mempunyai dan melakukan apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu berniaga. Baginda adalah model usahawan islamik terbaik didunia, berjaya didunia dan diakhirat, patut dicontohi oleh semua usahawan.

Sesetengah usahawan kita mendakwa mereka adalah usahawan islam yang melaksanakan perniagaan cara islam serta melaksanakan jihad dalam perniagaan tetapi mereka tidak mencontohi peribadi Rasulullah sewaktu berniaga. Usahawan Islamik yang sebenar adalah usahawan yang berniaga cara islam dan mencontohi peribadi keusahawanan Rasulullah....

So, aku rasa setakat itu sahajalah post kali ini. Semoga apa yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada semua. Insyaallah....



Sunday, June 12, 2011

TUNTUTAN FARDHU KIFAYAH...


10 Rejab 1432 Hijriah. Ok, hari ini aku ingin berkongsi tentang Fardhu Kifayah yang mana aku yakin, sebagai orang Islam, ramai yang mengetahui tentang tuntutan Fardhu Kifayah ini. Satu persoalan yang aku ingin utarakan supaya kita sama-sama dapat berfikir dan mengkaji iaitu adakah kita memahami tuntutan Fardhu Kifayah dan adakah membantu golongan Orang Kurang Upaya juga merupakan tuntutan Fardhu Kifayah?

Fardhu Kifayah ditafsirkan sebagai 'perbuatan yang wajib dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat tanpa melihat siapa yang mengerjakannya. Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewajipan itu terhadap orang lain. Tetapi apabila tidak ada seorang pun yang melakukannya, maka semuanya berdosa'. (A.Hanafi M.A., Ibid). Dengan lain perkataan adalah kefardhuan yang wajib dibuat oleh seseorang atau satu kumpulan dalam masyarakat, daerah negeri atau negara.

Dengan itu dapatlah ditegaskan bahawa Fardhu Kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas meliputi aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, politik, perundangan, ketenteraan dan sebagainya. Ianya merangkumi kerja-kerja kemasyarakatan dan kenegaraan. "Ditimpakan keatas mereka kehinaan dimana sahaja mereka berada kecuali mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia" (Ali Imran, 112). Tali dari manusia adalah kerja-kerja bersifat Fardhu Kifayah.

So, after kita dah memahami istilah dan konsep Fardhu Kifayah ini, izinkan aku bertanya, "adakah membantu golongan kurang upaya juga merupakan tuntutan Fardhu Kifayah?". Mengikut pembacaan dan kefahaman aku (jika salah tolong betulkan), membantu golongan OKU juga adalah sebahagian daripada Fardhu Kifayah.

Perkara yang aku maksudkan membantu OKU itu adalah dari aspek penyediaan kemudahan OKU, bantuan meringankan bebanan OKU dan sebagainya. Bukan sahaja setakat menyembahyangkan jenazah, Fardhu Kifayah juga menuntut kita untuk membantu OKU. Aku tidak berniat untuk menjatuhkan hukum/mengeluarkan fatwa/mencipta hukum baru dan sebagainya tetapi untuk menyedarkan bahawa Fardhu Kifayah bukan setakat menyembahyangkan jenazah sahaja.



Gambar1: Antara tuntutan Fardhu Kifayah iaitu solat jenazah



Sesetengah daripada kita menganggap bahawa Fardhu Kifayah itu hanya setakat menyembahyangkan jenazah dan hal keagamaan tetapi Fardhu Kifayah ada 4 jenis yang meliputi aspek kemasyarakatan dan kenegaraan termasuklah membantu OKU seperti menyediakan kemudahan OKU, meringankan bebanan warga emas dan sebagainya.

Kenapa terjadinya perkara seperti ini? Hal ini aku tidak mampu memberi penjelasan yang tepat. Mungkin masyarakat kita hanya didedahkan dengan soal menyembahyangkan jenazah sahaja. Mungkin pendedahan ilmu kifayah kurang ditekankan sangat di sekolah-sekolah dalam negara. Mungkin mereka tidak/kurang mengetahui bahawa Fardhu Kifayah itu ada 4 bahagian iaitu Kifayah Dini, Kifayah Duniawi, Kifayah Syarat Hakim dan Kifayah Tanpa Syarat Hakim.

Perlu dingati bahawa jika kita mengabaikan Fardhu Kifayah ini, keseluruhan masyarakat terdekat (mungkin satu kampung, satu daerah, satu negeri atau satu negara) berdosa dan sama-sama menanggungnya. Begitu juga dengan masyarakat yang tidak prihatin terhadap penyediaan kemudahan OKU ini. Masyarakat menjadi endah tidak endah tentang hal ini kerana mereka berpendapat bahawa tidak mengapa jika tidak memperdulikan masalah ini. Mereka tidak menyedari bahawa kemudahan OKU juga ada dalam aspek kemasyarakatan, tanggungjawab masyarakat yang perlu dibuat secara bersama.

Begitu juga dengan apa yang dikatakan ilmu Fardhu Kifayah iaitu ilmu yang bukan melibatkan fardhu ain. Ianya adalah ilmu yang mesti dipelajari. Jika tiada seorang pun yang mempelajari ilmu Fardhu Kifayah seperti ilmu matematik, perubatan, sains teknologi dan sebagainya, ianya berdosa. So, konsep Fardhu Kifayah ini mesti difahami secara baik dan mendalam oleh masyarakat kita.

So, kesimpulannya adalah hari ini kita banyak tidak mengetahui tentang tuntutan Fardhu Kifayah sekaligus mengabaikannya. Aku bukan ustaz, ulama atau mufti untuk memberikan hukum hakam tetapi daripada pembacaan dan kefahaman aku, membantu OKU juga adalah sebagaian daripada tuntutan Fardhu Kifayah (jika salah tolong tegur ye).



Friday, June 10, 2011

SUAMI SEPERTI SETH TAN...


8 Rejab 1432 Hijriah. Semenjak dua menjak ni, banyak komen-komen dalam FB aku yang dipost oleh kawan-kawan tentang drama Nora Elena. Mereka (majoriti perempuan la) asyik sebut-sebut tentang kekacakan, kebaikan, caring, loving dan macam-macam lagilah pada karekter utama drama ni iaitu Seth Tan lakonan Aaron Aziz. Drama ini disiarkan dislot Akasia, waktu 'terbaik' iaitu waktu Maghrib.


Gambar1: Poster drama Nora Elena



Antara komen-komen yang biasa aku dengari adalah "alangkah romantiknya Seth Tan.", "kalaulahlah Seth Tan tu jadi pakwe aku atau husband, alangkah bahagianya aku :) ", "Oh Seth Tan......", "Tak sabar nak tengok Seth Tan petang ni." dan sebagainya. So far seorang sahaja lelaki (kawanku yang komen kat FB) tentang Nora Elena iaitu "kalaulah aku macam Seth Tan, mesti ramai awek tergila-gilakan aku :-)"

Aku tak berapa minat sangat dengan drama-drama melayu ni. Kat kolej aku pun takde tv, so aku memang tak tengok sangat la tv tu. Balik kampung pun aku bukannya kaki tv, cukup aku boleh berinternet dan bermain games, dah, enough for me. Bila ramai yang post tentang drama Nora Elena ni, tergerak hati aku aku nak tahu, "best ke drama ni?". So aku pun tontonlah kat website www.tonton.com.my

So, secara asasnya, drama Nora Elena yang berasal dari novel 'Kasih Yang Suci' adalah mengisahkan hubungan cinta antara Seth Tan dan Nora tulah dengan diselitkan pelbagai pancaroba. Very tipikal drama. Aku terpaksa habiskan beberapa jam untuk menonton dan mengkaji drama ni, so barulah aku boleh berikan komen.

Aku tak dapat nafikan bahawa watak lakonan Aaron Aziz tu sememangnya seorang yang baik hati, caring, loving, pemaaf dan sebagainya. Pendek kata, itulah watak perwatakan yang diingini oleh wanita melayu kita ni. Apa pun, aku ada satu aspek yang tidak aku suka. Aku tak berniat untuk menyalahkan Aaron ataupun pelakon lain (yelah, dia berlakon je, ikut skrip dan arahan), tapi ada kekesalan yang terbit dihatiku tentang watak Seth Tan ini, tentang watak suami idaman ini.

Perkara itu adalah Seth Tan gagal memujuk atau menyuruh isterinya itu untuk menutup aurat. Semua aspek dah berjaya ditonjolkan sebagai seorang suami yang penyayang, suami yang caring, suami yang bertangungjawab dan sebagainya tetapi gagal sebagai watak suami yang baik menurut Islam. Seth Tan gagal menunaikan tanggungjawab sebagai suami dengan tidak membimbing isteri ke arah hukum Islam, ke arah penutupan aurat.

Aku taknak komen tentang kisah silam Nora yang dizalimi, kisah gelap Seth Tan sewaktu dulu-dulu. Apa yang aku komen ini adalah untuk masa sekarang. Walaupun Nora dikatakan tidak mencintai Seth Tan, tetapi dia sudah bertitle 'isteri' dan dia wajib patuh kepada kata-kata suaminya. Begitu juga dengan Seth Tan, tidak bolehlah dia bermesra-mesraan dengan setiausahanya tu dan dia juga mesti menyuruh isterinya itu menutup aurat. Adakah watak suami sebegini yang diinginkan oleh gadis-gadis melayu Islam Malaysia sekarang ni?

Aku lebih suka bakal suami anak perempuanku (pada masa depan) adalah seorang suami yang dekat dengan Allah SWT dan boleh memikul amanah yang diberikan walaupun lelaki itu tidaklah romantik, caring, loving, kacak dan mewah seperti Seth Tan, yang tidak mampu memujuk atau menyuruh 'isteri'nya Nora menutup aurat....

Begitulah gadis-gadis remaja sekarang ini dalam pilihan mereka untuk mendapatkan bakal suami. Pertimbangan yang sepatutnya menjadi asas pemilihan suami (baik agamanya, keturunannya, rupa paras dan hartanya dan anda boleh rujuk ciri-ciri memilih suami mengikut Islam) diabaikan sebaliknya hanya mengikut emosi dan nafsu semata-mata. Mereka ini lebih suka dan percaya pada lelaki yang baik, caring, loving, kacak dan sebagainya tetapi tidak kisah pada aspek agamanya.

Agak mudah untuk kita menilai seseorang lelaki yang sudah bergelar suami samada dia adalah suami yang baik atau tidak. Antaranya adalah kita boleh melihat isteri dan anak-anaknya. Jika isteri dan anak-anaknya baik, mengikut ajaran Islam (menjaga solat, menutup aurat, menjaga pergaulan dan sebagainya), maka kita boleh katakan bahawa lelaki itu adalah suami yang baik dan suami yang berjaya.

Aku tak berniat untuk mengkritik ulama ataupun ustaz tetapi hari ini aku tengok ada ustaz yang hebat pada ceramahnya tetapi gagal mendidik isteri dan anak-anaknya. Masa bagi tazkirah/ceramah agama bergegar-gegar, begitu begini, bersemangat membacakan hadis itu hadis ini, menerangkan hukum itu hukum ini tetapi isteri dan anak tidak menutup aurat. Pada aku, ustaz atau ulama ini gagal dan tidak layak untuk aku hormatinya.

Apa pun diharap after this, gadis-gadis melayu Islam kita boleh dan cerdik dalam memilih pasangan mereka dengan memilih orang yang mempunyai ciri-ciri suami yang baik menurut Islam. Insyaallah....


* Cun gak Nora tu ye... hehehe....


Thursday, June 9, 2011

REJECTED IDEA...


8 Rejab 1432 Hijriah. Alhamdulillah... sempat juga aku update blog ni. Semalam aku ada baca berita tentang sebuah portal yang diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu 1Pengguna. Sesiapa yang nak bukak website tu, boleh klik di sini. Secara asasnya, portal ini adalah untuk memberi maklumat kepenggunaan dan sebagai platform untuk berinteraksi antara pengguna, penjual dan pihak kementerian.

So, aku pun sempatlah tengok-tengok dan test website tu. Secara peribadinya, aku berpendapat, portal tu memang bagus. Memang memberi manfaat kepada pengguna yang prihatin dan ingin merancang pelbelanjaan secara berhemah. Walaupun ada pihak yang bising-bising tentang harga pembangunan portal tersebut yang mencecah RM 1.4 juta, namun bukan itu yang aku ingin bincangkan.

Sewaktu aku dalam awal pengajian master dulu (sekitar semester kedua tahun 2009), aku ada buat proposal tentang cadangan aku untuk membina sebuah sistem pembandingan harga antara satu kedai dengan kedai lain. Contohnya harga kicap cap A. Dalam sistem cadangan aku itu, pengguna boleh memilih produk kicap A dan bandingkan harganya di kedai X, kedai Y dan kedai Z serta pengguna boleh mengetahui lokasi kedai tersebut.

So dalam perbentangan dalam kelas (penilaian dibuat oleh 2 orang pensyarah), mereka mempersoalkan tentang idea itu. Ada yang mengatakan siapa yang akan keep in data? Bagiamana dengan undang-undang pengguna dan undang-undang pemilik kedai? Adakah pemilik akan izinkan awak ambil harga produk mereka? Apakah tidak menjadi suatu kesalahan mengambil gambar produk?

That is an idea, just raw idea. Aku akui bahawa maybe kajian aku time tu belum mencukupi lagi (yelah, requirement yang diperlukan pada masa itu adalah idea, raw idea) dan idea tersebut direject sebab aku tak dapat jawab soalan-soalan itu. Walaubagaimanapun, sebagai pensyarah, mereka mesti guide student mereka dengan betul. Kurang sesuai pensyarah kondem dengan melontarkan soalan bertubi-tubi dan reject idea student tersebut. Mereka mesti memahami permasalahan yang sebenar, impak masa depan jika masalah ini tidak diselesaikan then barulah mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Ok, itu idea pertama. Idea kedua yang aku cadang dan turut direject adalah idea untuk menghasilkan animasi superhero tempatan. Ideanya just lebih kurang beberapa kanak-kanak Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India bila bergabung boleh membentuk seorang superhero dan bermatlamat untuk membanteras jenayah. So idea ini aku ambil daripada animasi yang aku suka tonton dulu iaitu Captain Planet, just aku convert environment Amerika dengan environment Malaysia dan budaya negara kita sesuai dengan minda kanak-kanak kita.


Gambar1: Animasi Captain Planet zaman aku budak-budak dulu.



Sesiapa yang tak ingat tentang post aku tentang idea animasi ini, boleh rujuk disini. Antara alasan yang paling tak logik ialah "kita tak nak benda2 fantasi sebab ianya boleh melalaikan kanak2". After that keluar pulak animasi Boboiboy tahun lepas yang turut mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai superpower bermatlamat membanteras kejahatan (daripada ancaman makhluk asing yang ingin mencuri coklat). So ideanya lebih kurang sama sahaja dengan apa yang aku cadangkan tetapi aku punya direject.


Gambar2: Animasi Boboiboy. Best kartun ni, aku suka.



Apa pun aku akui bahawa semua ini ada hikmah disebaliknya. Setiap yang berlaku ada asbab-musababnya.Cuma apa yang aku kurang puas hati adalah sikap penilai yang kurang memberi semangat dan guideline yang betul. Mereka adalah golongan profesional yang telah lama berkecimpung dalam industri dan sepatutnya pengalaman mereka itu boleh dijadikan panduan oleh golongan belia kita yang ingin menceburi bidang creative content ini.

Pemikiran golongan belia sekarang ini berbeza dengan golongan lama. Golongan lama menghasilkan animasi Sang Kancil tetapi golongan baru menghasilkan Boboiboy dan Upin Ipin tetapi asas idea golongan lama inilah yang membantu golongan muda menghasilkan pelbagai idea yang menarik cuma mungkin kurang diterima oleh golongan lama.

Apa pun, pada aku, untuk menjadi penilai, seseorang itu mestilah daripada pihak industri, berpengalaman dan berfikiran kehadapan dalam menilai idea golongan muda sekarang ini, barulah wujud keseinambungan yang baik antara idea dan pelaksanaan. So, itu adalah antara rejected idea aku tapi aku bersyukur kerana walaupun idea aku direject namun permasalahan telah diselesaikan oleh pihak lain, yang mana masyarakat dapat penyelesaian walaupun bukan aku yang selesaikannya. Alhamdulillah....



Saturday, June 4, 2011

KOMEN KES PENGAKUAN TIADA DARA...


3 Rejab 1432 Hijriah. Ok, berikut adalah post yang aku terima daripada salah seorang rakan alam maya aku: "Kisah AdindaEvans atau pemilik nama Nadia Elliza kini hangat diperkatakan di seluruh tanah air dengan pendedahan 'berani mati' beliau yang mengaku sudah tiada 'DARA' mendapat perhatian seluruh masyarakat Malaysia sehingga Dato Seri Shahrizat Abd Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang tampil di rancangan MHI TV3 (3Jun 2011) untuk mengupas tentang isu ini"

Aku tidak tahu sangat tentang hal ini sehinggalah diberitahu dan aku tak tengok apa yang diperkatakan oleh YB Dato Seri Shahrizat tentang hal ini. After that, baru aku buat sedikit research di FB, Youtube, blog dan surat khabar, so rasa terpanggil pulak untuk bagi pandangan aku. Ini just pandangan aku semata-mata, bukan berniat untuk mengaibkan sesiapa dan ianya bersifat umum, tidak ditujukan kepada sesiapa. Ini melibatkan permasalahan sosial negara dan umat Islam.

Sekarang ini banyak berlaku kes-kes seperti ini, kes rogol dan kes zina. Dua perkataan yang berbeza maksud tetapi mempunyai hukum yang sama iaitu berdosa besar, haram dan mesti disebat. Bila kes dah muncul, pelbagai pihak mula membicarakannya dan berlakulah tuding menuding antara satu sama lain. Ayah, mak, adik-beradik, kawan-kawan sehinggalah masyarakat kita mula membicarakannya apatah lagi pihak yang berkaitan.

Bermula daripada pasangan kekasih yang mulanya hanya keluar sahaja (samada diberi izin oleh penjaga atau tidak), start berpegang tangan, 'ringan-ringan', meraba-raba dan seterusnya berlaku zina. Tak perlu aku jelaskan hukumnya, semua dah tahu, so aku just nak share tentang tindakan yang sepatutnya dilakukan (aku bukan pakar, kalau ada tersilap, tegurlah aku).

Ada hadis yang diriwayatkan dari Tarmizin dan Ahmad yang bermaksud "Seburuk-buruk orang diakhirat adalah orang yang menceritakan pengalaman bersetubuhnya kepada orang yang bukan hak". Amat berdosa bagi orang yang melakukan zina (dengan rela) dan rogol (dengan paksa) dan bertambah berdosa lagi jika mereka yang terlibat mengumumkannya kepada yang bukan hak (bercerita kepada orang awam), apatah lagi dengan rasa bangga.

Ramai jugak aku tengok kat blog-blog yang mengutuk, menghina, mencaci dan sebagainya kepada remaja tersebut (difahamkan dia dirogol dan umurnya time tu 14 tahun). Difahamkan Ada juga yang memujuk, menasihati dan memberi tazkirah kepadanya namun mengikut pencarian aku yang sekejap sahaja itu, lebih ramai yang memberi komen negatif tanpa memberikan sebarang cadangan penyelesaian. Tindakan remaja itu yang aku anggap masih kurang matang dan komen negatif masyarakat turut memberi impak kepada familynya. Aku percaya bahawa ayah, ibu dan keluarga terdekat remaja itu semestinya mempunyai suatu perasaan yang mungkin sedih, marah, terganggu dan sebagainya.

Dalam Islam, sejarah tidak boleh dihukum. Ada pelacur yang bagi minum seekor anjing, Allah SWT bukakan hidayah untuknya, lalu boleh masuk syurga. Saidina Umar R.A yang telah membunah anaknya, telah diberikan hidayah Allah SWT, akhirnya menjadi pejuang Islam dan sekaligus boleh masuk syurga. Seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang, rohnya dibawa oleh malaikat untuk ke syurga setelah pemuda itu mati dalam taubat. See?

Walau seburuk manapun remaja itu dan remaja-remaja lain diluar sana, walau sehina manapun mereka, kita tidak boleh menghina mereka, tidak boleh mencaci mereka. Siapa kita untuk berputus asa terhadap rahmatNya? Sejarah adalah sejarah. Bertaubatlah agar Allah SWT ampunkan dosa kita semua. Samada kita berzina ataupun dirogol, bertaubatlah kepada Allah SWT agar dibukakan hidayah untuk kita. Janganlah sekali-kali kita berputus harapan pada rahmat Allah SWT.

Pada aku, penyelesaian terbaik adalah remaja itu bertaubat, menutup cerita tersebut (jangan mendedahkan kepada masyarakat sewenang-wenangnya) dan seboleh-bolehnya dikahwinkan dengan pasangannya itu (jika berzina la, kalau kes rogol, seboleh-bolehnya jangan). Aku difahamkan pula bahawa si perogol itu akan dijatuhkan hukuman mati. Mungkin itu adalah keadilan untuk remaja tersebut.

Kes ini menjadi hangat kerana pendedahan remaja tersebut dalam akaun FB nya yang mana aku lihat, disinilah puncanya kes ini merebak. Pendedahannya yang 'berani' dan 'seolah-olah redha' itu sudah tentu mendapat reaksi ramai pihak dan masyarakat pula hanya pandai menghukum sahaja tanpa memberi kaedah penyelesaian untuk kes ini. Aku percaya bahawa dengan pendedahan ini, lebih ramai masyarakat yang akan tampil dan menuding jari antara satu sama lain.

Nasihat aku pada remaja tersebut: "Bersabarlah. Andai kata betul adik dirogol, bertaubatlah pada Allah SWT. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Andai kata adik berzina, bertaubatlah pada Allah SWT. Janganlah diulangi perkara tersebut dan bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Jangan didedahkan kisah adik ini kepada orang yang bukan hak. Mulakanlah hidup baru dengan penuh rasa syukur atas rahmat daripada Allah SWT..."

Nasihat aku pada masyarakat: "Hentikanlah perbuatan menghina dan mencaci orang lain. Tegurlah adik kita itu secara berhikmah. Berikanlah peluang kepadanya untuk memulakan hidup barunya. Janganlah disensasikan lagi cerita ini ditambah lagi tanpa memberi cadangan penyelesaian untuknya. Samada adik ini bersalah atau tidak, kita tidak tahu, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui dan jadikanlah kes ini sebagai pengajaran untuk semua. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa adik itu dan dosa-dosa kita semua..."

So, aku harap, after this, kes ini clear dan kita semua sama-sama mendapat pengajaran daripadanya. Insyaallah...


* Aku tiada niat untuk mengaibkan sesiapa especially kepada adik AdindaEvans/ Nadia Elliza. Semoga adik hentikan isu ini dan mulakanlah hidup baru yang lebih baik dan bermakna serta jangan sekali-kali berputus asa terhadap rahmat Allah SWT...



Wednesday, June 1, 2011

HARI SEJUTA BELIA...


29 Jamadil Akhir 1432 Hijriah. Alhamdulillah... bebaru ini aku berkesempatan untuk bersama-sama dengan rakan UTM lain menyertai program Hari Sejuta Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Program bermula pada 27-29 Mei 2011 di Putrajaya itu dihadiri oleh hampir 30 oprang pelajar UTM termasuk 2 staff sokongan dan kitaorang semua bertolak pada 26 hb serta menginap di Kolej Siswa Jaya, UTMKL (dah agak lama tak stay kat sini, rindu rasanya).

So, kitaorang pada 27hb Mei tu bertolak pukul 5.00 pagi dari kolej ke Putrajaya. Singgah sekejap di Petronas untuk solat Subuh dan sampai kira2 pukul 8.00 pagi. Aku sebenarnya ada tujuan tersendiri menyertai program ini. Kawan-kawan UTM lain itu dikehendaki membuka booth dan menyertai seminar yang dibuat di dewan Menara Usahawan, MITI. Aku pun ada membuka booth juga tetapi bukan untuk membuat jualan pun.

Aku membuka booth sebagai promosi program aku nanti iaitu Simposium Pembangunan Keusahawanan OKU yang bakal diadakan pada 10-14 Okt 2011 nanti (program lambat lagi tapi promosi dah start dah). So kat program ini aku bertujuan untuk mengedarkan flyer serta menyertai seminar.

So, after aku dah setup booth, aku pun menyertai seminar tersebut. Agak best jugaklah seminar tu sebab ada beberapa nama besar dalam industri yang datang untuk bagi 'talk' antaranya daripada Proton, TNB, MITI, MDeC dan sebagainya. Semua wakil-wakil tu adalah level GM dan Manager. So, dapat jugaklah jugak beberapa info tentang vendor, business joint venture dan sebagainya daripada wakil-wakil ini.

Aku ada berbincang dengan pihak Proton untuk projek kenderaan OKU aku itu, manalah tau kan kot-kot Proton berminat untuk buat kerjasama ataupun ada mana-mana part yang boleh Proton bantu aku dalam meningkatkan lagi prestasi produk aku tu. Alhamdulillah... so far feedback GM itu baik dan menunjukkan minat terhadap produk tu. So, aku harap after this boleh la kot aku pergi ke KL untuk buat next appointment.

After that, aku sempat jumpa juga dengan Mr.Rik daripada MDeC dan sempat menyerahkan proposal program itu untuk diberikan kepada mana-mana menteri yang dia kenal. Hope tiada masalah. Mr.Rik dah lama kenal aku, daripada aku study Master lagi then dia pun baik dengan geng-geng kami.

So, untuk first day tu aku tak banyak sangat la jalan-jalan kat area booth tu, just tengok-tengok ajela. Besar betul program ini. Aku difahamkan ada 3 program besar yang dijalankan serentak kat sini iaitu program Sejuta Belia, Jomheboh dan satu lagi apa nama tah, aku lupa, tapi aku rasa saiz program ini dengan program Pesta Konvokesyen yang pernah aku join tu, aku rasa yang ini 10 kali ganda besar. Boothnya berderet-deret, stagenya pulak besar dan ada 3-4 buah stage utama.

Dari segi pengunjung tu aku rasa memang ramai la. Maklum la, cuti sekolah. Untuk hari kedua tu barulah aku start edar flyer. Merata-rata jalan untuk edar flyer tu. Sambil-sambil edar flyer tu, terserempak pula dengan YB Dato' Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi. Apa lagi, aku terus ambil peluang untuk berjumpa dengannya. Aku main bantai je pergi jumpa dengan dia dan bagi flyer kat dia sambil menerangkan serba sedikit program aku tu. Alhamdulillah... feedback beliau baik dan menyatakan dia menunggu surat rasmi dari aku (aisey, tak ingat pulak nak bergambar dengan beliau).

After thathari kedua tu just jalan-jalan edar flyer jelah. Aku tak banyak pun flyer yang berjaya diedarkan tapi flyer yang berjaya diedar itu memang 'hit the right person' sebab aku fokus pada OKU, JKM dan pihak-pihak yang berkaitan. Maybe some hajat aku tak tercapai tapi oklah sebab at least ada some hajat yang tercapai. Hajat bertemu dengan menteri tu aku tak jangka pun, inilah rezeki agaknya.

Untuk hari ketiga aku dah takde buat apa2 sangat dah. Just lepak-lepak dengan kawan-kawan kat Menara Usahawan tu jelah. Actually aku bukannya kenal sangat pun kawan-kawan UTM yang datang bersama ni, so dalam peluang ini, sempat jugaklah aku berkenalan dengan lebih rapat lagi mereka semua. After that, pukul 2.00 petang, kami pun bertolak semula ke Skudai. Tiba di Skudai dalam sekitar Maghrib jugaklah.

Apa pun bagi aku program ini cukup besar. Kalaulah aku berpeluang dan mampu mengendalikan program sebesar ini, alangkah indahnya hidup ini. Sempat juga menanam azam untuk berusaha agar suatu hari nanti aku boleh dan berpeluang mengendalikan program sehebat ini. Dari segi pengunjung, memang ramailah, daripada pagi sehingga petang tu, penuh dengan manusia. Apa pun, syabas aku ucapkan pada penganjuran program ini.

Tak banyak gambar yang aku ambil untuk program ini. Kat bawah ini antara gambar-gambar yang sempat kawan aku ambilkan.



Gambar1: Kat booth persatuan-persatuan OKU



Gambar2: Juga di booth OKU



Gambar3: Bersama artis Julia Ziegler



Gambar4: Bersama abang askar yang memberi posing maut... hehehe...



Gambar5: Aku bersama kawanku, Saifullah




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

...:: Facebook ::...